K) PERMAINAN BULU AYAM
Pengenalan
Permainan ini dikenali juga sebagai sepak bulu
ayam, sebuyam atau chapteh. Dimainkan di luar rumah oleh kanak-kanak lelaki
seramai dua atau lebih. Jika terdapat ramai yang bermain, kumpulan dengan
terdiri beberapa orang boleh dibentuk.
Permainan ini adalah seperti permainan sepak raga,
tetapi bola yang digunakan adalah dari bulu ayam yang telah dibentuk seperti
sejambak bunga.
Membuat Bola
Beberapa bahan asas diperlukan bagi membuat bola
bulu ayam ini. Beberapa helai bulu ayam yang terdapat pada ekor atau kepak ayam
(tidak kurang dari tiga helai). Sebatang paku sederhana besar, kepingan tiub
tayar yang telah dibentuk bulat berukuran antara 4sm. garispusat dan getah
skrap atau getah gelang sebagai pengikat.
Beberapa keping getah tiub yang telah dibentuk
bulat hendaklah dicucok paku menembusi ditengah-tengahnya. Lima helai bulu ayam
sama panjang dilekatkan disekeliling paku tadi dan diikat dengan getah sekrap
atau getah gelang dengan kemas. Jika untuk mendapatkan kekemasan bola tersebut
sejenis gam yang kuat boleh digunakan sebelum ikatan dibuat.
Cara Bermain
Sebelum permainan dimulakan undian dijalankan
terbelih dahulu bagi menentukan giliran. Undian secara lai lai li tam plong
untuk semua pemain bagi menentukan siapa yang perlu memulakan terlebih dahulu
mengikut gilirannya. Penentuan mata samada jumlah timbangan terbanyak atau
penetapan jumlah mata tertentu juga harus dipersetujui terlebih dahulu.
Pemain disyaratkan menimbang bola bulu ayam
tersebut dengan menggunakan tepi tumit kaki (tepi kaki sebelah dalam) sahaja
atau juga dengan lutut. Sepakan tidak dibenarkan, jika dilakukan oleh pemain,
ia dikira mati dan giliran pemain seterusnya mengambil alih pula. Permainan
juga dikira mati sekiranya bola jatuh ketanah.
Mata dikira dengan cara, pemain mestilah menimbang
bola tanpa henti atau mati dengan seberapa banyak timbangan yang dapat
dilakukan. Pemain yang mendapat mata terendah jumlah timbangan dikira kalah,
dan ia akan dikenakan denda. Pemain yang kalah dikehendaki melambungkan bola
kepada pemenang, dan pemenang pula mestilah menimbang bola sebanyak tiga kali, sekiranya
pemenang gagal berbuat demikian maka denda terhadap pemain yang kalah akan
dikira tamat.
Pusingan seterusnya boleh dilakukan beberapa kali,
pemain yang memenangi disetiap pusingan atau jumlah kemenangan banyak kali dan
melebihi dari yang lainnya dikira juara.


No comments:
Post a Comment