Bermain gasing
Gasing popular di Semenanjung terutama di Kelantan. Orang dewasa yang memajukan seni permainan ini, bagi kanak-kanak lebih gemar dengan gasing Melayu dan Cina, kerana saiz yang kecil dan mudah dipermainkan.
Jenis-jenis Gasing
Jenis gasing yang terdapat di Malaysia termasuk
gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing
berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang.
Membuat Gasing
Kayu yang paling sesuai dari spesis merbau, seperti
merbau tanduk, merbau darah, merbau johol dan merbau keradah, ianya mudah
dilarik tetapi tidak mudah serpih. Selain itu kayu leban tanduk, limau, bakau,
koran, sepan, penaga, keranji juga menjadi pilihan. Jenis kayu yang mudah
didapati seperti manggis, jambu batu, ciku atau asam jawa sering digunakan untuk
membuat gasing.
Kayu tersebut dilarik menggunakan alat pelarik,
mengikut saiz dan bentuk gasing yang telah ditetapkan. Sebelum kerja melarik
dimulakan besi paksi dibenamkan ke dalam kayu tersebut agar keseimbangan dari
segi bulatnya dapat dilakukan ketika melarik.
Setelah gasing disiapkan maka kerja-kerja terakhir
dilakukan, seperti melilitkan timah pada kepak gasing tadi agar menambah berat
lagi gasing itu hingga seberat lima kilogram dan juga tak mudah serpih. Untuk
menambah indah rupa parasnya maka tanduk kerbau dipasangkan dibahagian kepala
gasing serta dikilatkan dengan varnis. Ini terdapat pada gasing leper atau
untuk gasing uri sahaja.
Cara Bermain
Gasing dimainkan dengan dua cara, iaitu sebagai
gasing pangkah atau gasing uri. Gasing pangkah, dimainkan dengan melemparkannya
supaya mengetuk gasing lawan. Gasing uri dipertandingkan untuk menguji
ketahanannya berpusing.
Gasing pinang dimainkan oleh kanak-kanak. Buah
pinang muda dikupaskan sabut dan kulitnya, dipangkaskan bahagian atas dan
bahagian bawahnya, kemudian dicucukkan lidi buluh melalui pulurnya menjadi
paksi serta pemegang gasing itu. Gasing ini boleh dilagakan atau diurikan.
Untuk memusingkan gasing, tali setebal 1.75 cm dan
sepanjang 3 hingga 5 meter dililitkan pada jambulnya hingga meliputi seluruh
permukaan gasing. Kemudian gasing itu dilemparkan ke atas tanah dan serentak
dengan itu tali yang melilit jambuhnya direnggut.
Pertandingan Gasing
Pertandingan gasing uri berbeza dengan gasing
pangkah. Gasing uri lebih bersifat individual, manakala gasing pangkah bersifat
kumpulan.
- Gasing Uri
Gasing yang berpusing dipindahkan oleh jong (juru) cokok ke atas lopok yang telah dicacakkan di atas tanah. Gasing yang berpusing paling lama dikira pemenang pertandingan. Biasanya gasing uri berupaya berpusing lebih daripada satu jam.
- Gasing Pangkah
Dalam perlawanan gasing ini, setiap pasukan mempunyai jong cokok. Selesai pemangkahan, gasing-gasing di dalam bong itu dicokokkan dan dipindahkan ke atas lopok, seperti dalam pentandingan gasing uri. Jika salah satu gasing pihak menanti berpusing lebih lama, pihak itu tidak diberi markah tetapi ditukarkan menjadi pemangkah. Pasukan yang memangkah tadi kini menjadi pasukan menanti pula.

No comments:
Post a Comment